Saturday, August 27, 2011

Mak pergi tinggalkan kami

28 Ramadhan. Aku masih ingat tarikh itu. Dan sampai bila-bila aku akan ingat tarikh ini. Peristiwa ini berlaku 2 tahun yang lalu. Tak sabar rasanya nak sambut hari raya yang bakal tiba, mungkin 2 atau 3 hari lagi. Persiapan raya yang aku dan keluarga ku sediakan sudah siap sepenuhnya. Kuih raya ? Siap. Baju raya? Siap. Langsir? Siap. Semuanya siap. Tinggal nak masak untuk juadah hari raya sahaja.

Sewaktu bersahur seperti biasa kami sekeluarga akan makan bersama-sama. Mak yang akan bertungkus lumus memasak dan mengejutkan kami. Dia tidak pernah jemu mengejutkan kami yang liat nak bangun sahur ni. Tapi hari tu dia tidak mengejutkan kami seperti biasa. Aku terjaga dari tidur sebab jam loceng sudah berbunyi. Aku agak pelik tapi tak ambil pusing akan hal itu. Aku bangun minum segelas air dan tidur semula. Dalam pukul 6.30 pagi aku bangun untuk menunaikan solat subuh. Aku terus mengambil wudhuk dan solat. Selepas solat aku terdengar suara riuh-rendah dari bilik mak. Adik menangis dengan esakan yang paling menggila. Aku terus ke bilik mak. Sungguh aku terkejut aku terlihat mak sudah kaku tidak bergerak. Bernafas pun tidak. Ayah hanya mendiamkan diri. Aku rasa dunia aku gelap seketika. Hampir saja aku rebah ketika itu nasib baik ada abang di belakang aku. Dia menyambut aku. Kami semua bungkam. Terkejut kerana mak pergi tanpa tanda-tanda yang pelik.

Tapi aku masih lagi teringat sewaktu solat maghrib semalamnya. Kami semua solat berjemaah. Selepas solat kami akan mencium tangan mak seperti selalunya. Tetapi malam itu aku menyalami mak tapi mak seakan-akan tidak mahu melepaskannya. Aku hairan. Tapi mak cuma tersenyum dan mencium kedua belah pipiku. Aku memang hairan. Tapi aku tak ambil kisah sangat. Tak sangka itu adalah ciuman yang terakhir. Tak sangka itu adalah salam yang terakhir.

Ya Allah! Betapa aku rindukan mak aku itu. Rindu yang teramat sangat dan sangat. Tapi Allah lebih sayangkan mak. Dia ambil mak disaat-saat kami masih memerlukan mak. Tiada lagi senyum tawa mak. Tiada lagi masakan enak dari emak. Semuanya sudah tiada. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak tahu. Jadi kami redha dengan ketentuannya. Itulah raya pertama kami tanpa mak. Pagi raya yang sayu dan hiba. Tiada juadah hari raya. Hanya esak tangis saja yang kedengaran. Sampai sekarang hari raya kami amat bersederhana.

p/s: Ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kene mengene dengan aku. Saja nak test feel sedih hari ni. Padahal tak de lah sedih mana. Aku tak reti lah nak buat cerita sedih-sedih ni. Aku trytest aje.



No comments: